Wednesday, June 22, 2016

Hukum Menziarahi Kubur Pada Hari Raya


Telah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan umat islam di Malaysia, iaitu amalan menziarahi kubur sanak saudara atau orang tersayang pada hari raya Aidilfitri(termasuk juga Aidiladha). Telah menjadi kelaziman dan lumrah, pada satu syawal, tanah perkuburan dibanjiri oleh umat islam seawal pagi lagi. Persoalannya, adakah amalan ini direstui oleh syarak atau sekadar budaya yang kemudiannya menjadi kebiasaan yang diterima pakai.

Entri ini bukannya bermaksud untuk menyalahi kebiasaan dan menyanggahi kelaziman, cuma ia bertujuan untuk menilai kembali segala amalan yang kita lakukan. Adakah ia benar-benar ditimbang dan disukat di atas neraca agama.

Sebelum melanjutkan bicara,saya mohon agar entri ini dibaca dengan cermat dan teliti, dan kalau perlu ia perlu dibaca berulang kali, agar benar-benar dapat memahami permasalahan ini.
Dua perkara yang perlu diperkatakan dan seterusnya difahami sebelum memperkatakan topik ini, Pertama, tentang kaedah, pendekatan atau cara yang sepatutnya dilakukan ketika menyambut hari raya dan kedua pula tentang hukum menziarahi kubur.

KAEDAH MENYAMBUT HARI RAYA DALAM ISLAM


Hari raya adalah hari membesarkan Allah dan bersyukur atas kurniaanNya. Kita disuruh bertakbir membesarkan-Nya, dan juga sebagai tanda kemenangan. Jadi pada hari raya, kita sewajarnya menzahirkan suasana kekuatan, kegembiraan dan perpaduan umat Islam, dan bukannya berduka atau bersedih.

Aidilfitri merupakan hadiah isitmewa dari Allah selepas sebulan menahan nafsu makan,minum dan syahwat. Jadi umat islam berhak menzahirkan kegembiraan asalkan tidak menyalahi agama, malah Nabi S.A.W sendiri mengizinkan atau menggalakkan hiburan seperti nyanyian, pertunjukan dan sukaria yang lain selagi tidak melanggar syariat.

Saya tertarik dengan penjelasan dari Ustaz Nik Zawawi menerusi Stesyen Radio THR Gegar(16.Ogos.2012). Menurut beliau, tidaklah menjadi kesalahan untuk bermain bunga api dan mercun yang tidak memudaratkan serta tidak menganggu orang ramai sebagai tanda kegembiraan menyambut syawal. Ia dibenarkan selagi tidak melampaui batas dalam islam.

Betapa Nabi S.A.W inginkan umat islam bergembira menyambut hari raya, dapat kita perhatikan menerusi sebuah hadis daripada isteri Rasulullah S.A.W, Ummul Mukminin‘Aishah r.aha:

Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi S.A.W berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi S.A.W bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Banyak hadis lain menunjukkan keizinan atau galakan hiburan pada hari-hari kegembiraan seperti hari raya, hari perkahwinan dan seumpamanya. Maka, dendangan lagu hari raya yang menimbulkan suasana kegembiraan adalah digalakkan. Adapun lagu-lagu yang menimbulkan kesedihan ia bertentangan dengan konsep hari raya dalam Islam.

 
HUKUM MENZIARAHI KUBUR

Hukum menziarahi kubur hukumnya adalah sunat. Antara tujuannya ialah untuk menginsafkan manusia dan sekali gus mengingatkan kepada hari akhirat.

“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi sekarang kerana ia boleh mengingatkan kamu pada hari akhirat” (Riwayat Muslim).

Pada peringkat awal Nabi s.a.w melarang perbuatan ini, kerana bimbang kesan jahiliah masih mempengaruhi masyarakat. Namun,apabila kefahaman Islam sudah kukuh, baginda mengizinkan kerana ia membantu mengingatkan hari akhirat.

Ziarah kubur boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja,dan Nabi s.aw sendiri menziarahi kubur baq’i pada waktu malam. Apa yang pasti, menziarahi kubur digalakkan samaada siang mahupun malam kerana ia mampu menghadirkan keinsafan kepada kita.

HUKUM MENZIARAHI KUBUR PADA HARI RAYA
 
Disebabkan Hari Raya adalah hari untuk bergembira, maka sepatutnya kita memanfaatkan hari tersebut untuk memakismumkan penzahiran kegembiraan. Ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi sanak -saudara dan rakan- taulan adalah antara perkara yang amat dituntut. Begitu juga dengan mengembirkan anak-anak kecil dengan memberikan duit raya sekadar yang mampu dan sekudrat yang terdaya.

Atas dasar menghormati ‘zon gembira' dan 'wilayah bersuka ria’ maka menziarahi kubur pada Hari Raya adalah tidak digalakkan. Ini kerana ia akan mendatangkan kesediahn. Bimbang dan risau, takut-takut kesedihan dan dukacita akan megambil alih dan menganti perasaan gembira dan suka ria pada hari yang mulia.

Dan, andainya ingin juga menziarahi kubur pada hari raya, maka jangan sesekali menyandarkan amalan tersebut dengan perbuatan Nabi S.A.W. Maksudnya jangan beranggapan, itu adalah perbuatan sunat, ini kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi S.A.W dan para sahabat. Amat besar dosanya andainya kita berdusta atas nama Nabi.

Boleh juga jika ditangguhkan amalan menziarahi kubur itu kepada hari-hari lain seperti pada pada hari raya yang ketiga atau keempat, agar dengan ini kita dapat memanfaatkan hari raya pertama dan kedua untuk bergembira. Jangan jadikan Satu Syawal sebagai mangsa budaya dan kebiasaan, beranilah untuk menyalahi kebiasaan dan menyanggahi kelaziman. Apatah lagi kelaziman dan kebiasaan tersebut tidak bersendikan dalil-dalil agama.