Thursday, November 13, 2008

ARKIB



ARKIB : 12/11/2008
Redakan radikal Islam
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(WARTAWAN UTUSAN)
HUKUMAN bunuh ke atas pengebom Bali dibimbangi mencetus kepada kebangkitan kumpulan radikal Islam di Indonesia yang mahu membalas dendam.- Reuters
SETELAH empat kali dicabar, hukuman mati ke atas tiga orang pengebom Bali yang dijatuhkan oleh mahkamah Indonesia pada 2003, akhirnya terlunas apabila mereka ditembak tengah malam Ahad lalu.
Amrozi, Ali Ghufron atau Mukhlas dan Imam Samudra menerima balasan daripada tindakan mereka merencana pengeboman di Kuta, Bali yang mengorbankan 202 orang, sebahagian besarnya rakyat asing pada 13 Oktober 2002.
Kerajaan Indonesia pastinya meletakkan timbang tara yang sangat tinggi dalam pelaksanaan hukuman mati tersebut, sementelah hukuman bunuh dengan cara tembak sudah tidak dipraktikkan oleh banyak negara.
Apatah lagi seluruh dunia terutamanya Barat memerhati dengan teliti bentuk hukuman yang bakal dijatuhkan, memandangkan tragedi itu merupakan polemik antara agama kedua terbesar selepas tragedi 11 September 2001.
Dengan beberapa siri serangan oleh kumpulan radikal Islam yang secara jelas mensasarkan kumpulan Kristian dan Barat selepas itu, sentimen yang mengaitkan Islam dengan keganasan atau Islamophobia bercambah dengan pesat.
Dari satu sudut, keputusan kerajaan Indonesia menjatuhkan hukuman mati itu dinilai beberapa pihak lebih kepada keputusan patuhnya kerajaan Indonesia kepada tekanan kuasa Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS).
Namun dari sisi yang lain pula, ia mampu menghapus stigma yang mengaitkan Islam dengan keganasan di sebalik pendirian Barat yang tidak akan berganjak daripada persepsi bahawa Islam merupakan agama yang menganjurkan keganasan.
Atas kepentingan bahawa Islam tidak lagi boleh secara berterusan dikaitkan dengan keganasan, keputusan kerajaan Indonesia sebagai sebuah negara dengan majoriti penduduknya beragama Islam itu, sekurang-kurangnya mampu membersihkan kembali agama suci ini.
Sesuatu yang pasti, hukuman bunuh itu tidak dapat mengelak daripada dikaitkan dengan sentimen kebencian yang semakin mendalam terhadap Kristian dan Barat di kalangan kumpulan radikal Islam yang masih berbaki di Indonesia.
Keadaan itu meletakkan kerajaan Indonesia dalam situasi yang lebih berjaga-jaga ketika ini terhadap kemungkinan berlakunya keganasan terbaru iaitu percubaan membalas dendam atas hukuman bunuh pengebom Bali tersebut.
Kebimbangan yang sama juga bersandar kepada hakikat bahawa pergerakan kumpulan radikal Islam seperti Jemaah Islamiah (JI) dan rangkaian al-Qaeda, masih bergerak aktif di rantau ini, terutamanya di Indonesia.
Pada bila-bila masa, kumpulan ini mampu mengatur misi membalas dendam yang mungkin lebih buruk daripada siri pengeboman yang berlaku sebelum ini.
Kemunculan pertubuhan-pertubuhan berfahaman keras di Indonesia mula disedari apabila berlakunya serangan letupan bom pertama yang jelas ditujukan kepada penganut Kristian sehari sebelum menjelangnya sambutan Hari Krismas pada 2000.
Tragedi yang dikenali sebagai Bom Natal itu disasarkan kepada 15 buah gereja termasuk di Medan, Jakarta, Bandung, Sukabumi, Ciamis dan Mojokerta yang mengorbankan kira-kira 20 nyawa.
Daripada pengeboman inilah lahirnya nama-nama individu seperti Amrozi, Ali Ghufron dan Imam Samudra, selain beberapa nama yang menjadi buruan termasuk dua warganegara Malaysia iaitu Dr. Azahari dan Noordin Mat Top.
Malah, Dr. Azahari dan Noordin juga dikatakan menjadi dalang kepada beberapa siri pengeboman lain kemudiannya, termasuk pengeboman Hotel JW Marriot, Jakarta pada Ogos 2003, Kedutaan Besar Australia pada September 2004 dan pengeboman kedua Bali pada Oktober 2005.
Bagaimanapun, Dr. Azahari mati ditembak dalam satu misi memburunya pada 9 November 2005 manakala Noordin Mat Top pula masih lepas bebas dan menjadi orang buruan nombor satu Indonesia ketika ini.
Individu lain yang turut menjadi buruan ialah Zulkarnaen, yang dikatakan penyelaras kepada pergerakan al-Qaeda di rantau Asia Tenggara.
Fahaman kekerasan yang menjadi pegangan kepada kumpulan radikal Islam ini, menjadikan Islam sebagai benteng untuk menghalalkan tindakan yang jelas tidak berperikemanusiaan.
Menyandarkan erti 'jihad' kepada satu bentuk tindakan keganasan, merubah apa yang dilakukan oleh perancang serangan bom di Bali itu kepada satu misi pembunuhan beramai-ramai.
Dalam keadaan seperti itu, kejadian pengeboman Bali misalnya, tidak ada bezanya dengan asas serangan ke atas Iraq dan Afghanistan, iaitu keganasan yang tidak boleh diterima oleh mana-mana agama mahupun ideologi di seluruh dunia.
Hakikat itu juga seperti apa yang diperjelaskan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI), bahawa pengebom Bali itu tidak dikira sebagai mati syahid kerana mereka tidak berjuang mempertahankan agama Islam.
Seperkara yang boleh dinilai dalam sentimen kebencian terhadap Barat di sebalik hukuman bunuh pengebom Bali ini ialah, bagaimana ia boleh diredakan dengan kelibat Barack Obama sebagai Presiden baru AS.
Seperti yang diketahui, asas serangan pengeboman Bali seperti yang pernah diberitahu oleh Imam Samudera, adalah bagi membalas tindakan AS, yang ketika itu diketuai oleh George W. Bush menyerang Afghanistan.
Meskipun melihat kemungkinan kebencian kepada Barat terutamanya AS di kalangan kumpulan radikal itu mampu diredakan, penganalisis politik, Malike Ibrahim bagaimanapun berpendapat, ia masih bergantung dasar luar Washington di bawah Obama.
Paling utama ujar Pensyarah Kanan, Kolej Undang-undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini juga ialah, sejauh mana pendirian Obama untuk tidak mendiskriminasikan Islam serta menjauhkan agama ini dengan label keganasan.
Meskipun Obama mendapat sokongan majoriti penduduk Indonesia kerana faktor kekeluargaannya yang dikaitkan dengan negara ini, namun ia tidak mampu merubah kebencian terutamanya di kalangan penyokong radikal Islam.
''Banyak faktor lain yang menyebabkan kebencian kumpulan radikal Islam ini terhadap Barat terutamanya AS yang mendorong kebencian terhadap kuasa besar ini. Antaranya pencerobohan di beberapa negara Islam lain seperti Iraq, Afghanistan dan sempadan Pakistan selain tindakan negara itu yang bersifat unilateral," katanya.

No comments: